Thursday, August 18, 2011

:: terlanjur mencintaimu

ahaaa .. kali nie saje post entry pasal short story
sajeee ~~~ 
jgn terkejut tau,bukn islamic story pown....
bebiasa
amik dri mmber last year dah katam bace 
tulisan pun aq ubah
karang biru mate bace t
kihkihkih










Terlanjur Mencintaimu




Harriz. Satu nama yang cukup aku kenal satu ketika
dahulu. Dia pernah menjadi suami aku. Suami yang
bergelar hanya pada nama tapi tidak pernah memiliki
sepenuhnya jiwa dan hati aku ketika itu. Perkahwinan
yang berlandaskan kertas putih dengan seribu
perjanjian yang boleh menjatuhkan maruah seorang
suami. Aku tahu, Harriz tidak pernah mempersetujui
dengan apa yang aku lakukan sebelum kami mengikat tali
perhubungan yang suci. Namun, kerana sayang dan
cintanya pada aku dia menerima niat aku tanpa sebarang
bantahan yang keluar dari mulutnya. Kenapa Izham tidak
seperti Harriz? Sungguh berbeza nilai dan peribadi
mereka antara satu sama lain.
Harriz terlalu baik tapi hati aku tidak dapat menerima
cintanya. Kenapa?.....Dia cukup sempurna untuk menjadi
seorang suami dan pemimpin yang boleh menjaga aku
sehingga ke akhir hayat. Adakah aku yang terlalu bodoh
untuk menolak cintanya yang tulus dan ikhlas
menyayangi aku, atau keegoan aku yang menguasai diri.
"Saya menerima awak bukan atas paksaan sesiapa tapi
hati ini yang ikhlas mencintai awak. Saya tahu taraf
awak dan saya berbeza ibarat langit dan bumi tetapi
untuk membahagiakan awak, itu adalah jaminan saya
sebagai bukti bahawa saya menyayangi awak. Walaupun
kontrak kita hanya setahun tapi cinta saya sampai ke
mati.
"Biarpun kita akan berpisah nanti, namun untuk
menghilangkan ingatan saya terhadap awak adalah amat
sukar. Sekali saya dah letakkan awak dalam hati saya
bermakna awaklah gadis pertama dan terakhir yang saya
cintai walau awak membenci saya seumur hidup
awak......"
Kata-kata itu masih aku ingat sampai sekarang. Keegoan
aku ketika itu mulai luntur tapi hati aku keras. Aku
menolak cintanya mentah-mentah kerana bagi aku, lelaki
mudah mengeluarkan kata-kata manis namun untuk
membuktikannya adalah satu dalam sejuta. Aku tidak
mempercayai Harriz. Bagi aku, Izham lelaki pertama
yang mencuri hati aku adalah terlalu sempurna untuk
aku. Aku bertemu dengan Izham sewaktu kami menyambung
pengajian di London. Izham bijak memainkan
kata-katanya dengan rupa parasnya yang kacak itu untuk
menambat hati aku. Hanya dunia sahaja yang tahu
bagaimana gembiranya hati aku ketika itu dapat
berpasangan dengan Izham , seorang lelaki yang menjadi
rebutan gadis-gadis lain di luar sana.
Hampir dua tahun hubungan kami terjalin. Tiada
sebarang masalah di antara kami sepanjang perhubungan
itu. Pertengkaran kecil adalah perkara biasa bagi
kami. Seringkali juga kawan-kawan aku menasihatkan
supaya berpisah dengan Izham kerana dia bukanlah
seperti apa yang aku sangka. Dia adalah Romeo. Banyak
kali mereka terserempak dengan Izham bersama
gadis-gadis lain. Aku yang bodoh kerana tidak pernah
percaya dengan kata-kata mereka. Pada fikiran aku
ketika itu, mereka terlalu cemburukan aku. Itulah
sebabnya mereka memfitnah Izham supaya hubungan kami
putus dan mereka boleh mengambil kesempatan memenangi
hati Izham. Sehinggakan aku hampir hilang kawan hanya
semata-mata kerana terlalu mempercayai Izham.
Selepas tamat pengajian, aku pulang ke Malaysia. Izham
masih di London kerana tempoh pengajiannya ada lagi
setahun. Ketika itulah detik hidup aku bersama Harriz
bermula. Aku telah dijodohkan dengan Harriz oleh
ayahku.
Entah mengapa, ayah terlalu sukakan Harriz sedangkan
Harriz hanyalah pekerja bawahan ayah. Dia bukanlah
dari keluarga yang senang dan setaraf dengan kami.
Namun, ayah tidak mengambil kira itu semua. Kata ayah,
Harriz mampu menjaga aku sebagaimana ayah dan ibu
menjaga, mendidik dan membesarkan aku. Dia percayakan
Harriz sehinggakan dia pernah berkata segala hartanya
termasuk aku akan diserahkan kepada Harriz andai satu
hari nanti dia pergi buat selama-lamanya. Kepercayaan
ayah terhadap Harriz memang tiada batasan, begitu juga
dengan ibu. Aku tahu, ayah ada penyakit yang kronik
iaitu sakit jantung dan darah tinggi. Aku tak sanggup
untuk menolak permintaan ayah. Mereka adalah
segala-galanya untuk aku. Betapa perit dan payahnya
mereka membesarkan aku. Ayah juga bukanlah dari
keluarga yang senang tetapi berkat kerajinan dan
semangat ayah yang tinggi serta dorongan ibu
membuatkan aku dapat menikmati hidup ini dengan segala
kemewahan yang tak dapat aku bayangkan. Tapi, aku juga
inginkan kehidupan aku sendiri.
Berhari-hari aku memikirkan keputusan ayah samada
untuk menerima atau sebaliknya. Kesihatan ayah tidak
mengizinkan aku untuk berfikir lama. Akhirnya,
persetujuan dibuat dan dalam diam-diam aku juga turut
membuat perjanjian dengan Harriz lelaki yang tidak
pernah aku temui. Aku bencikan Harriz kerana aku
menyangka Harriz bukanlah seperti apa yang ayah
bayangkan. Dia mungkin mempunyai rancangan yang besar
untuk merampas kekayaan kami dengan mengahwini aku dan
berpura-pura baik di hadapan ayah dan ibu.
"Selepas kita bernikah, saya haramkan awak untuk
menyentuh saya. Kita hanya berlakon di hadapan ayah
dan ibu saya begitu juga dengan keluarga awak. Selepas
setahun, awak ceraikan saya. Ini dah termaktub dalam
perjanjian kita."
Aku tidak berani memandang wajah Harriz ketika kami
berjumpa buat pertama kalinya di sebuah restoran. Aku
akui, Harriz memang tampan orangnya malah lebih kacak
daripada Izham. Sedikit sebanyak hati perempuan aku
mulai
cair namun aku pantas melarikan fikiranku pada perkara
yang lain. Harriz merenung aku tanpa berkelip mata.
Aku gelabah. Langsung tidak dibaca perjanjian MOU yang
aku letak di hadapannya. Sakit hati aku dibuatnya
ketika itu. Aku kuatkan semangat untuk memandang
Harriz dan cuba berlagak serius.
"Tuhan kurniakan mata untuk melihat apa yang ada di
hadapan kita. Saya dah letakkan fail perjanjian kita
di hadapan awak. Takkan awak tak tahu nak menggunakan
mata awak tu untuk melihat apa yang patut?" Aku
memerli Harriz. Dia cuma tersenyum. Masih tidak puas
menatap wajah aku. Seluruh pelusuk wajahku dijajahnya.

"Memang Tuhan anugerahkan mata untuk melihat.
Sekarang, saya sedang melihat satu lagi anugerah Tuhan
yang diberikan kepada saya. Kecantikan yang tidak
pernah saya bayangkan, tapi sekarang baru saya tahu
bahawa sungguh indah alam ini dengan adanya wanita
secantik awak, Nurul Ain Bt Hamdi..." Ungkapan pertama
keluar dari mulut Harriz.
Aku tersedak, hampir tersembur fresh orange yang
sedang kuminum. Pantas tanganku mencari tisu di dalam
beg tangan. Harriz masih tersenyum. Merah padam muka
aku menahan malu. Bijak sungguh Harriz bermain dengan
kata-kata. Aku hampir terpedaya dengan pujiannya.
Ahh...Lelaki, semuanya sama...
"Tapi sayang, awak tidak menggunakan kecantikan awak
itu untuk melambangkan hati awak. Buat pengetahuan
awak, saya ini bukanlah seperti apa yang awak
bayangkan. Niat saya ikhlas untuk memperisterikan
Nurul Ain Bt Hamdi. Jangan kerana awak kaya dan hidup
mewah, awak takut saya akan merampas semuanya itu dari
tangan keluarga awak. Terus terang saya katakan,
seandainya awak ini adalah gadis cacat yang kudung
tangannya atau bisu mulutnya saya tetap akan
mengahwini awak walau awak miskin sekalipun.
"Bagi saya, harta boleh dicari tapi cinta yang tulus
suci hanyalah wujud sekali dalam hidup kita dan awak
adalah wanita yang berada di dalam hati saya sekarang
sehinggalah saya tidak bernafas lagi di atas bumi
bertuah
ini." Harriz tersenyum lagi.
Aku pula tergamam. Macam mana dia boleh mengenali aku
sejauh begitu. Kata-katanya kedengaran seolah-olah
kami pernah berjumpa. Tapi, aku rasa tidak kerana
inilah kali pertama aku melihat wajahnya. Sungguh
pelik orang ini. Harriz membuka fail biru itu. Tanpa
dibaca walau sebaris ayat pun, dia mengambil pen dari
poket bajunya lantas ditandatangani MOU tersebut.
"Awak tak berniat nak baca MOU itu sebelum awak sign?"
Aku memberanikan diri untuk bertanya pada Harriz.
Sekali lagi dia memandang aku dengan pandangan yang
penuh bermakna baginya.
"Kalau saya baca, adakah niat awak itu akan berubah
untuk menerima saya bagaimana ikhlasnya saya menerima
awak?" Terperangkap lagi aku dengan kata-katanya.
Entah kenapa di mana hilangnya marah aku dan semangat
aku ketika itu. Lelaki ini benar-benar lain.
Tidakkk!!..... Aku bukan mudah untuk menerima dia.
Cinta aku pada Izham masih kuat. Harriz bangun. Air
minuman yang dipesan tidak disentuh, masih suci
sepertimana aku.
"Assalamualaikum...." Itulah kata-kata terakhir yang
diucapkannya sebelum meninggalkan restoran itu. Aku
terpinga-pinga. Pelik dan aneh lelaki ini. Sebelum aku
berjumpa dengan Harriz, terlalu banyak kemusykilan
tentangnya yang berlegar-legar di dalam fikiran aku.
Kini pada pertemuan pertama kami, semakin bertambah
kusut fikiran aku memikirkan tentang Harriz. Siapakah
dia sebenarnya? Apakah yang dia mahu daripada aku?
Atau adakah dia memang benar-benar tulus mencintai
aku. Ahhhhh....makin difikir, makin pening aku
dibuatnya.

***********************************************************

Kini, telah hampir seminggu aku menjadi isteri kepada
seorang lelaki yang tidak aku cintai. Majlis
perkahwinan yang diadakan amat meriah tetapi aku tidak
merasai keseronokan itu. Mungkin Harriz juga begitu.
Perhubungan
aku dan Harriz memang terbatas. Itu adalah syarat aku
sendiri sebelum Harriz melafazkan akad nikah. Kami
hanya berpura-pura mesra di hadapan ibu dan ayah
tetapi di sebalik tabir kehidupan kami, tidak wujud
kemesraan tersebut. Harriz benar-benar memberi
kerjasama yang baik. Kadangkala simpati aku menjengah
di hati kecilku. Pernah aku menasihati dia supaya
melepaskan aku sebelum tamat kontrak perkahwinan kami
tapi Harriz bukanlah lelaki yang senang dipujuk rayu.
"Saya seorang yang menepati janji. Walau hati ini
berat untuk berpisah dengan awak, saya tetap akan
patuhi syarat awak bahawa kita hanya bercerai selepas
tamat tempoh kontrak. Awak sendiri tahu bagaimana
perasaan saya pada awak. Tidak munasabah andai saya
menceraikan awak sekarang. Kalau boleh, saya mahu
takdir membuka pintu hati awak untuk menerima cinta
saya dan menyayangi saya sebagaimana tulus dan sucinya
cinta saya terhadap awak."
Tiba-tiba Harriz memegang tangan kananku ketika aku
sedang mengikat rambut lantas diciumnya perlahan
seolah-olah aku ini bagaikan puteri yang sedang
berhadapan dengan rakyat biasa. Berderau darahku
ketika itu. Aku menjarakkan diri. Bulat mataku
memandangnya. Tanpa segan renungan Harriz semakin
tajam memandang ke arah aku. Aku gementar. Rasa marah
dan geram wujud dalam diri ini. Harriz cuba untuk
memperdayakan aku dengan kata-kata manisnya.
"Tolong jangan bersikap kurang ajar! Sudah cukup
selama ini saya bertahan dengan sikap dan perangai
awak!! Awak jangan umpan saya dengan kata-kata manis
awak tu. Saya tak akan terpengaruh. Kontrak tetap
kontrak. Biarpun setahun atau dua tahun atau
selama-lamanya, saya tidak akan mencintai awak atau
belajar untuk menyintai awak!!
"Cinta saya hanyalah untuk Izham. Awak tahu bukan?
Izham lebih dahulu hadir dalam hidup saya tapi awak
merosakkan segala-galanya dengan memperalatkan ayah
dan ibu saya. Saya bukan macam mereka. Itu sahaja yang
awak perlu tahu!!" Bentakku tiba-tiba dengan penuh
berani.
Aku sendiri terkejut dengan tindakan aku. Dari mana
aku dapat kekuatan untuk melawan perasaan aku? Aku
memaling ke arah lain. Terasa semangat untuk
mempertahankan diri wujud dalam diri ini. Mungkin
kerana rindu aku pada Izham semakin kuat dan kesalahan
aku pada Izham juga berat.
Harriz hanya diam. Sedikit sebanyak nampak juga
perbezaan di raut wajahnya yang mungkin terkejut
dengan kata-kata amarahku yang tiba-tiba.
"Maafkan saya kerana buat awak marah. Saya tak ada
niat untuk menyakitkan hati awak, Nurul Ain. Saya
harap kita masih boleh jadi kawan," ringkas sahaja
kata-kata Harriz kali ini. Aku masih tidak memandang
wajah Harriz.
"Nampaknya dah masuk waktu solat Isyak sekarang. Mari,
kita berjemaah," pelawa Harriz lembut. Aku memandang
wajahnya. Dia tersenyum, "Saya tunggu di bilik."
Harriz berlalu pergi meninggalkan aku di ruang tamu.
Perasaan marahku sudah reda. Malu pun ada bila
mengenangkan kembali kemarahan aku yang berapi-api
itu. Nampaknya Harriz masih boleh buat muka selamba
sedangkan sudah berbakul-bakul aku memarahinya
sepanjang dia duduk di rumahku.
Tidak tahu bagaimana lagi untuk aku mewujudkan rasa
benci dalam diri Harriz supaya dia membenci aku. Kini,
perkahwinan kami sudah hampir 3 bulan. Ayah dan ibu
pula sudah bertanya tentang keadaan kesihatan aku. Itu
tidak lain dan tidak bukan mesti berkaitan dengan hal
anak. Bagaimana aku nak memberitahu mereka bahawa aku
ini masih suci lagi. Harriz tidak pernah menyentuh aku
walaupun dia berpeluang. Dia benar-benar mengikut
segala kontrak yang ditulis oleh aku itu supaya tidak
menjalinkan apa sahaja hubungan dengan aku. Aku
bertambah bingung. Segala apa yang aku lakukan
semuanya tidak menjadi. Harriz masih lagi menyayangi
dan menyintai aku. Aku dah tak tahu nak buat apa. Aku
rindukan Izham di saat-saat begini. Aku kesunyian.
Tanpa Izham aku rasa kehilangan. Kadangkala aku nampak
bayangan Izham dalam diri Hariz. Sampai bila aku mampu
bertahan. Harriz terlalu baik terhadap aku. Hanya
perempuan gila sahaja seperti aku yang tidak jatuh
cinta padanya setelah pelbagai cara dia lakukan untuk
menambat hati aku. Aku juga manusia biasa. Cinta akan
datang dan pergi sesuka hati dalam hidup ini. Apakah
perasaan aku terhadap Harriz sekarang? Aku semakin
bingung dengan kehidupan yang aku lalui kini.
Jam menunjukkan pukul 2.00 pagi. Aku tiba lewat di
rumah. Tapi, bukan kerana banyak kerja di pejabat cuma
aku sengaja pulang lambat supaya Harriz menyangka aku
perempuan yang selalu balik lewat malam kerana puas
berseronok di luar. Terjengket-jengket kaki aku
melangkah masuk. Suasana gelap menyelubungi rumah
banglo dua tingkat pemberian hadiah ayah sempena
perkahwinan kami. Mujurlah hanya aku dan Harriz yang
tinggal di sini. Kalau tidak, tentu aktiviti kami akan
terbongkar lebih awal. Minta-minta Harriz akan
memarahi aku kerana pulang lewat. Aku berjalan
perlahan-lahan menuju ke tangga tapi aku telah
terlanggar sesuatu yang besar di hadapan. Hampir
terjatuh aku dibuatnya namun, mujur ada seseorang yang
sempat memaut pinggangku supaya tidak terjatuh.
Berderau darah dibuatnya. Lampu ruang tamu dipasang...

Aku tergamam. Pinggangku masih lagi dipaut oleh
Harriz. Mata bertentang mata. Hampir beberapa saat aku
tidak bercakap. Tersedar dari lamunan, aku pantas
menolak Harriz ke tepi. Wajahku mula berubah. Merah
padam jadinya. Marah bercampur malu benar-benar ada
dalam diri aku sekarang
"Awak ni kenapa?!! Macam pencuri!! Nasib baik saya ni
tak ada sakit jantung. Dah pukul 2.00 pagi. Awak tak
reti-reti nak tidur?" Aku memarahi Harriz.
"Saya tunggu awak...."
"Tak payah nak tunggu-tunggu. Saya ni bukannya budak
kecik lagi. Saya tahu pukul berapa saya nak balik.
Awak ni orang gaji saya ke?"
"Awak dah makan? Hari ni saya masak lauk kegemaran
awak, masak lemak cili api ikan keli. Awak mesti suka.
Mari makan sama, saya tak makan lagi ni."
Harriz mempelawa aku. Masak lemak cili api ikan keli?
Terliur aku dibuatnya. Aku memang tengah lapar gila
ni. Maklumlah, satu hari aku tak makan apa. Tengah
hari tadi tak keluarpun sebab kerja banyak. Petang
pula ada mesyuarat. Bila dah habis kerja, aku pulak
yang sengaja
balik lewat hanya semata-mata nak nak sakitkan hati
Harriz. Sampai pukul 1.30 pagi aku duduk di pejabat.
Tak terfikir nak makan pun. Sekarang, dah lapar. Bodoh
betul aku. Takkanlah aku setuju nak makan dengan dia.
Habislah rancangan aku nak bagi dia marah.
"Awak ni pandai masak ke? Saya ni memilih orangnye.
Takpelah saya dah kenyang. Dah makan kat luar pun.
Awak nak makan, awak makanlah sorang."
Aku pura-pura menguap di hadapannya "Ahh..
ngantuknya.."
"Saya tahu awak belum makan lagi. Awak tentu lapar."
Harriz terus menuju ke ruang makan. Dia membuka tudung
saji dan menyendukkan nasi untuk aku dan dirinya
sendiri. Beria-ia benar dia mengajak aku. Macamana dia
tahu aku tak makan? Aku masih lagi tercegat di antara
ruang tamu dan ruang makan.
Sesekali aku menjeling ke arah Harriz yang sedang leka
menyiapkan makan malam yang rasanya dah boleh jadi
makan pagi. Sanggup dia tak makan kerana menunggu aku
semalaman. Boleh percaya ke lelaki ni? Jangan-jangan
dah
siap makan. Saja nak tarik perhatian aku supaya
simpati kat dia. Aku pantas menaiki tangga
meninggalkan Harriz.
"Awak tak nak makan? Tak sakit perut ke, awak? Nanti,
kalau awak jatuh sakitkan susah..." Harriz menasihati
aku. Langkahku terhenti.
"Awak tak faham bahasa Melayu? Kan saya dah cakap,
saya dah kenyang. Kalau awak nak makan, awak makanlah
sorang. Saya nak naik atas, nak mandi dan tidur. Awak
jangan ganggu saya!!" aku bentak keras.
"Tak pelah, saya makan dulu. Nanti, kalau awak rasa
lapar, awak makanlah ye. Pergilah awak berehat,"
Harriz mengakhiri perbualan kami. Aku terus naik ke
atas dengan perut yang benar-benar lapar. Rasa nak
terbalik dunia ni. Ya Allah laparnya. Hanya Tuhan saja
yang tahu. Kenapalah aku boleh bertindak bodoh. Dah
ada orang siap masak, aku saja yang sombong tak
bertempat. Sekarang, siapa yang merana? Bukankah
aku...?
Itu baru satu keadaan di mana dia boleh bertahan
dengan sikap aku. Tapi, kali ini aku pula yang tak
tahan dengan keadaan kami apabila terpaksa berlakon di
depan ayah dan ibu sewaktu kedatangan mereka ke rumah
kami. Dari berdiri jarak 50 meter kini dah rapat macam
belangkas. Dari muka
yang masam macam cuka kini aku terpaksa senyum
meleret. Aku kena memainkan peranan sebagai isteri dan
Harriz sebagai suami sedangkan gelaran itu memang ada
pada kami. Terasa kaku aku pada permulaan watak tetapi
Harriz bijak memainkan peranannya sebagi suami.
"Berapa lama mak dan ayah nak tinggal di sini?" Aku
mengajukan soalan sebaik sahaja ibu dan ayah duduk di
ruang tamu selepas kami menjamu selera tengah hari
itu. Percaya atau tidak, semua masakan dimasak oleh
Harriz tapi dia memberitahu ibu dan ayah yang aku
memasaknya. Ibu tersenyum menggeleng.
"Ain...Ain... Mak dan ayah belum panas punggung lagi
dah ditanya bila nak balik. Mak ni, rindukan anak mak.
Salahke mak melawat anak mak yang kini dah jadi isteri
orang," balas ibu. Aku tertunduk malu. Ye tak ye
jugak..
"Ain ni bukannya apa mak. Dia takut mak dan ayah balik
awal. Duduklah 2-3 hari kat sini, mak. Lama-lama pun
tak apa. Kami pun berdua. Kalau ada mak dengan ayah,
taklah sunyi kami ni.." Harriz menyampuk. Aku
menjeling pada Harriz. Nampaknya, dia ni nak mengambil
kesempatan. Ketika itu tangan kirinya sengaja memeluk
pinggangku. Aduh, geli betul. Aku tak boleh nak tolak.

"Yelah, mak. Duduklah lama-lama kat sini. Mak pun
tentu bosan duduk kat rumah, lagipun ayah kerja." Aku
terpaksa menipu. Kalau boleh nak saja aku menyuruh mak
dan ayah balik sekarang juga. Bukannya aku tak sukakan
mereka tapi aku tak mahu berlakon lagi.
"Tak bolehlah macam tu. Kamu dah berkeluarga. Mak dan
ayah tak nak ganggu kamu. Kami ni datang saja nak
melepas rindu. Dua hari lagi kami baliklah."
Alamak 2 hari lagi??? Terasa seperti 2 tahun nak
menunggu mereka balik. Aku lihat Harriz tersenyum
meleret. Makin erat dia memeluk pinggangku. Suhu di
kepala aku ni dah mendidih. Rasanya nak saja aku
cekik-cekik Harriz sekarang. Betul-betul mengambil
kesempatan. Aku pantas bangun. Semua mata memandang ke
arah aku.
"Tak pelah, mak ayah. Ain ada hal sekarang ni. Pukul 2
petang Ain ada mesyuarat dengan pelanggan. Nanti malam
baru Ain balik. Mak dan ayah tak payah tunggu Ain. Tak
tahu pukul berapa Ain balik."
"Hari ni kan Ahad, Ain. Takkan bekerja jugak. Kesian
kat Harriz ni. Sepatutnya, masa cuti jangan diganggu.
Kamu tu dah kahwin, dah bersuami. Kamu kena jaga makan
pakai si Harriz ni. Kesian Harriz." Berbakul-bakul ibu
membela Harriz. Eeeee....bertambah-tambah geram aku.
Ayah hanya
tersenyum. Tak banyak cakap. Malas nak masuk campurlah
tu. Pendek kata, apa saja yang ibu cakap ayah akan
setuju. Betullah mereka ni satu kepala. Berbeza aku
dan Harriz, ibarat panggang jauh dari api.
"Ain memang ada hal petang ni, mak. Tak boleh nak
tolak. Pelanggan Ain tu dari Jepun. Dia tak boleh lama
kat sini." Aku membalas kata-kata ibu dengan harapan
Harriz akan membantu aku.
"Takpe, mak. Saya tak kisah, lagipun selama ni tak
pernah kurang kasih sayang Ain pada saya. Lagipun saya
kenal pelanggan Jepun tu. Dia kawan lama saya masa
kursus kat Tokyo dulu." Harriz menyokong aku. Lega
rasanya di hati. Aku memandang Harriz. Dia hanya
tersenyum.
Tiba-tiba saja dihulurkan tangannya supaya aku mencium
tangannya. Mahu tak mahu terpaksalah aku bersalam dan
mencium tangan Harriz.
"Saya pergi dulu, bang.." Lembut aku bersuara meminta
izin. Mak dan ayah tersenyum-senyum memandang gelagat
kami berdua. Rasa senang di hati mereka melihatkan
kemesraan aku dan Harriz yang sebenarnya dibuat-buat.


***********************************************************

Aku terlalu rindukan Izham. Kenapa Izham tiba-tiba
sahaja menghilangkan diri. Sudah lama dia tak
menghubungi aku. Hampir 3 bulan aku tak mendengar
suaranya. Izham masih lagi di London. Dahulu, di awal
usia perkahwinan
kami Izham sering menelefon aku. Suaranya benar-benar
memberi aku semangat. Izham tahu mengenai masalah aku
dan Harriz. Dia juga tahu rancangan aku mengenai
'perkahwinan kontrak' ini. Izham langsung tidak
memarahi aku. Dia tahu bahawa aku menerima Harriz
bukan atas dasar cinta tapi atas dasar hormat aku pada
ayah. Dia jugalah yang menyokong aku dan katanya lagi
bahawa dia sanggup menunggu aku bukan saja setahun
malah selama hayatnya masih hidup dia sanggup menanti
aku. Aku dapat rasakan ketika itu akulah wanita yang
paling bertuah kerana dapat memiliki cinta Izham yang
betul-betul ikhlas menyayangi aku.
Namun suara Izham hanya dapat aku dengar 3 bulan yang
lalu. Di mana Izham sekarang? Mungkinkah dia terlalu
bosan menunggu dan terus menunggu kehadiran aku dalam
hidupnya? Ahh... kalau aku jadi Izham pun sudah pasti
perkara yang sama akan aku lakukan. Satu tahun
bukannya tempoh yang singkat. Sedangkan hati boleh
berubah inikan pula penantiannya yang boleh dianggap
satu angan-angan yang tak pasti. Ini semuanya berpunca
daripada Harriz. Kadangkala aku terlalu bencikan
Harriz tetapi kehadiran Harriz jugalah sedikit
sebanyak telah mengubah hidup aku. Tidak dapatku
sangkal bahawa dia seorang suami yang baik, dan
benar-benar mengambil berat tentang diri ini. Aku
sahaja yang tidak pernah menghargai kehadirannya dalam
hidup aku. Tiada lelaki lain selain Harriz yang tulus
ikhlas menyayangi, menyintai, dan menghormati aku.
Bila
difikir-fikirkan, aku rasa bertuah kerana punya
seorang suami yang terlalu memahami aku. Memanjakan
aku seolah-olah aku ini budak kecil yang perlu
didodoi. Aku sakit dia menjadi doktorku, aku lapar dia
menjadi tukang masakku malah bila aku terlambat ke
pejabat dia sanggup menghantarku sedangkan ketika itu
dia punya urusan lain. Tapi, kenapa mesti Harriz?
Bukan Izham?
Tiba-tiba saja hati aku terdetik, mungkinkah jodohku
memang bersama Harriz. Sisa-sisa hayatku adalah hidup
bersama Hariz sehingga aku mati. Di mana Izham
sekarang? Kenapa dia menghilangkan diri? Sudah tiada
lagi cintakah di dalam hatinya untukku? Atau aku
sahaja yang mengangankan sesuatu yang bukan milikku.
Sedangkan sesuatu yang sudah tentu menjadi milikku aku
abaikan begitu saja. Antara Harriz dan Izham?? Siapa
yang harus aku pilih? Ooohhh...Terlalu sukar hidup
ini.
"Masih panas lagi suhu badan awak ni. Saya bawa awak
ke klinik.." Aku ingat lagi peristiwa pertama yang
mencetuskan rasa sayang aku pada Harriz dan wujudnya
rasa cinta dan kasih di hati ini pada Harriz. Ketika
itu aku
demam panas. Memang aku tak mampu nak berbuat apa-apa
kerja ketika itu. Nak bangun dari katil pun tak
terdaya. Mungkin waktu itu aku terlalu rindukan Izham
dan dalam masa yang sama aku juga sibuk dengan
kerja-kerjaku di pejabat.
"Tak pe, saya sihat. Panas sikit je. Lepas makan
Panadol, sihatlah. Awak tak payah nak risaukan saya.
Saya tahu apa yang saya buat. Awak buatlah kerja awak.
Jangan ganggu saya, boleh tak?" Aku meninggikan suara.
Tapi bukannya aku marahkan Harriz, cuma aku tak tahan
dengan kesakitan di kepala yang aku alami. Harriz
masih tak berganjak. Dia meletakkan tangannya di
dahiku. Aku menepis dengan kuat tangan Harriz.
Berkerut-kerut dahiku menahan sakit. Aku cuba bangun
tapi tak mampu. Dengan pantas tanpa pedulikan
kemarahanku, Harriz terus mendukungku keluar dari
bilik. Aku benar-benar terkejut dengan tindakannya.
Habis tubuh Harriz menjadi sasaran aku untuk memukul.
"Awak nak bawak saya ke mana ni ? Lepaskan saya!!" Aku
cuba menjerit tapi badan aku terlalu lemah dan tak
mampu untuk aku meninggikan suara.
"Awak sakit di hadapan mata saya. Takkan saya nak jadi
orang bodoh untuk dengar kata-kata awak supaya
tinggalkan awak dalam keadaan macam ini. Saya nak
bawak awak ke klinik. Nyawa awak lebih penting
sekarang." Harriz....Sungguh mulia hatimu. Aku buta
untuk menilai kasih sayangmu yang mencurah-curah
mencintai diri ini sedangkan aku terus bodoh menanti
pada orang yang tak pasti. Sedikit demi sedikit hati
wanitaku mulai cair. Sepanjang aku terlantar sakit
Harriz menjaga aku siang dan malam. Dia sanggup
mengambil cuti semata-mata untuk menemani aku. Segala
makan dan pakai semuanya Harriz yang lakukan untuk
aku, biarpun pada mulanya aku malu dengan tindakan
Harriz. Entah mengapa, perasaan benci dan marah dalam
diri ini pada Harriz berubah menjadi kasih dan sayang
pada Harriz. Aku benar-benar terharu dengan
keikhlasannya selama ini dan aku juga bangga dengan
ketabahan Harriz yang sanggup hidup bersama aku susah
dan senang. Dia tidak pernah kisah dengan caci makiku
dan kutukan aku pada dirinya selama ini. Kesabarannya
terhadap kedegilan aku membuatkan aku mula jatuh cinta
pada Harriz. Tetapi keegoan aku mengatasi segalanya.
Aku malu untuk meminta maaf pada Harriz walaupun
selama ini aku yang banyak melakukan kesilapan.
Aku tahu, aku seorang isteri tapi aku tak pernah
menjalankan kewajipanku. Aku gagal menjadi isteri yang
sempurna pada Harriz. Dua minggu lagi akan tamatlah
ikatan kontrak perkahwinan kami. Sepatutnya aku boleh
gembira sekarang kerana tidak lama lagi Harriz akan
melafazkan kata-kata keramat bagi seorang isteri.
Namun, kegembiraan itu tidak dapat aku rasakan
sekarang. Buat pertama kali dalam hidup aku, aku dapat
melupakan ingatan aku pada Izham. Kerinduan pada Izam
sudah tiada lagi. Yang terbayang di dalam fikiran aku
sekarang hanyalah Harriz Bin Hisham, seorang suami
yang terlalu agung darjatnya dalam hati aku. Aku
benar-benar takut untuk berpisah dengan Harriz.
Selepas ini Harriz bukanlah lagi
peneman setia aku. Aku dapat rasakan bahawa hidupku
selepas ini akan sunyi. Tiada lagi senyuman Harriz dan
gurauan Harriz. Ooohh..TuHAN!! Apa yang telah aku
lakukan sekarang?
"Selagi awak di hadapan mata saya dan awak hidup
bersama saya, selagi itulah kewajipan saya sebagai
suami akan saya lakukan. Biarpun dalam kontrak tidak
tertulis, namun sudah menjadi tanggungjawab seorang
suami supaya menjaga isterinya samada dalam keadaan
susah mahupun senang. 2
minggu lagi, hubungan kita akan tamat. Tapi,
percayalah biarpun sehari malah sesaat pun, awak tetap
di hati saya. Saya tahu kebencian awak pada saya tidak
akan hilang. Begitu juga dengan cinta saya. Ianya
tidak akan pernah pudar. Andai diberi peluang sekali
lagi, saya mahu teruskan hidup ini bersama awak Nurul
Ain. Nama awak sudah terpahat di dalam hati saya."
Harriz mengusap rambutku dengan kain basahan sewaktu
memandikan aku yang terlantar sakit. Tiba-tiba satu
ciuman diberikan di dahiku. Terasa ingin mengalir air
mata ini, namun aku dapat bertahan. Mataku ketika itu
masih tertutup. Mungkin Harriz menyangkakan aku sedang
tidur tetapi tidak sebenarnya. Segala kata-kata luahan
hati Harriz dapat aku dengar cuma aku tidak berani
untuk menatap wajah Harriz ketika itu. Harriz, kenapa
kau terlalu baik pada diri ini yang seharusnya tidak
layak untuk berada di hatimu yang suci itu. Aku tidak
mampu untuk menyintai seperti mana engkau menyintai
aku. Andai engkau dapat mendengar luahan hati ini,
berjuta-juta kemaafan ku pohon darimu tapi untuk
meluahkannya hati aku amat berat. Aku malu sebenarnya
Hariz. Terasa kecil diri ini di hadapan matamu Harriz.

"Kenapa awak menerima saya untuk menjadi isteri awak
sedangkan sebelum ini kita tidak pernah berjumpa. Awak
tak pernah mengenali saya, tapi awak sanggup berkahwin
dengan saya. Bukankah itu satu tindakan yang bodoh
namanya?" Aku memberanikan diri untuk bertanya pada
Harriz sewaktu kami menjamu selera di sebuah restoran
selepas balik dari berjumpa dengan ibu dan ayah.
Harriz tersenyum. Dia memandang aku. Aku jadi kaget.
"Soalan itu rasanya sudah saya jawab sebelum kita
menjadi suami isteri lagi. Nama awak sebenarnya sudah
lama terpahat di dalam hati saya. Hampir dua tahun
saya mengenali awak sebelum saya berjumpa dengan
awak." Harriz
sengaja menoktahkan ayatnya di situ supaya aku semakin
keliru. Kali ini aku yang memandang wajahnya dengan
seribu pertanyaan di kepala.
"Dunia ini tidaklah sebesar mana. Tuhan mentakdirkan
hidup saya supaya bertemu dengan awak bukan di bumi
Malaysia. Saya juga pernah belajar di luar negara dan
sama universiti dengan awak." Aku ternganga. Ligat
otakku mengingati semula wajah-wajah pelajar Malaysia
yang pernah aku jumpa di London. Rasanya tiada
langsung wajah Harriz yang pernah aku jumpa. Betulke
dia ni atau sengaja nak memainkan aku?
"Setahu saya pelajar Malaysia tidaklah sebanyak mana
pun, tapi kenapa saya tak pernah berjumpa dengan awak?
Awak jangan nak bergurau dengan saya." Aku seakan
tidak percaya. Benarkah apa yang Harriz cakapkan
sebentar tadi?
"Saya belajar part time. Awak memang tidak akan
perasan saya. Saya belajar waktu malam, tapi awak dan
Izham selalu datang makan di restoran tempat saya
bekerja. Ingat tak Café Bistroze? Saya jadi pelayan
bar di situ.
Maklumlah, saya ni orang miskin, tak mampu nak belajar
sepenuh masa. Siang saya bekerja dan malam saya
belajar. Ketika itulah saya sempat mengenali awak."
Harriz menamatkan ayatnya di situ. Dia menghabiskan
minuman. Aku terdiam. Sungguh tak ku sangka, dunia ini
terlalu kecil. Tuhan menemukan aku dan Harriz tanpa
aku mengenali siapa dirinya. Harriz terlalu pandai
menyimpan rahsia.
"Esok, genap setahun kita menjadi suami isteri yang
sah seperti mana termaktub dalam kontrak yang telah
saya tandatangani. Biarpun hati ini berat untuk
melepaskan awak tapi saya tidak pernah lupa dengan
janji saya.
"Melukakan hati dan perasaan awak adalah satu dosa
paling besar di mana saya tidak dapat memaafkan diri
saya sendiri. Awak terlalu suci di mata saya. Awak tak
pernah bersalah dengan saya. Saya yang seringkali
melukakan hati awak selama ini. Saya benar-benar
berharap agar awak dapat ampunkan dosa-dosa saya."
Harriz tertunduk menahan sebak di dada.
"Terus terang saya katakan, esok adalah hari yang
paling saya takutkan. Saya dapat rasakan bahawa esok
akan mengubahkan segala takdir hidup saya yang selama
ini saya rasakan indah. Hidup bersama awak adalah satu
kenangan yang paling manis buat saya. Segalanya
berubah bila awak hadir dalam diri saya. Awak adalah
semangat saya untuk saya teruskan hidup ini yang kian
singkat...."
Aku rasa hairan dengan kata-kata terakhir Harriz. Apa
yang dia cuba maksudkan? Hariz yang berada di hadapan
aku sekarang bukanlah Harriz yang selama ini aku
kenal. Aku dapat lihat perubahan di wajahnya. Lain
benar seakan menyimpan satu rahsia yang tidak aku
ketahui. Aku juga dapat lihat air mata lelakinya
hampir mengalir tapi mampu ditahan.
"Awak tak pernah bersalah dengan saya. Saya yang
sepatutnya memohon ampun dan maaf dari awak kerana
dosa saya sebagai isteri adalah terlalu besar. Saya
kagum dengan awak kerana menghormati saya dan
keputusan saya selama ini. Awak seorang lelaki yang
terlalu baik dan saya tidak layak untuk berada di hati
awak. Saya percaya, selain saya akan ada seorang
wanita lain yang akan muncul dalam hidup awak dan
benar-benar menerima cinta awak dan menyayangi awak
lebih dari segala-galanya di dunia ini."
Aku juga menahan sebak. Tidak mahu air mata ini
mengalir di hadapannya. Percayalah Harriz,
sesungguhnya hati ini telah lama engkau miliki tapi
aku tak mampu untuk berterus terang. Aku perlukan
masa. Tidak tahu berapa
lama lagi. Aku sebenarnya terlalu malu untuk
berhadapan dengan dirimu yang tulus ikhlas mencintai
aku. Aku tahu, aku bodoh selama ini kerana tidak
nampak sebutir permata yang boleh menerangi sepanjang
hidupku. Harriz hanya
mampu tersenyum. Dia memegang tanganku lantas ciuman
kasihnya diberikan. Aku dapat rasakan mungkin itu
adalah ciumannya yang terakhir sebelum kami berpisah.
"Selepas ini, saya harap awak tidak akan hilangkan
ingatan awak pada saya. Biarpun diri saya ini hanyalah
sebesar zarah di hadapan mata hati awak, namun awak
jangan lupakan saya. Kalau boleh, biarlah berkekalan
sampai ke akhir hayat awak. Setahun adalah satu tempoh
yang singkat untuk saya lebih mengenali awak.
"Kalau Tuhan mentakdirkan umur saya panjang ingin
rasanya sekali lagi saya harungi hidup ini bersama
awak di dalam satu keadaan yang berbeza di mana awak
benar-benar mencintai saya dan menyayangi saya sepenuh
jiwa dan hati awak. Andai terjadi, saya dapat rasakan
bahawa sayalah manusia yang paling bertuah dapat
memiliki awak." Kami bertentangan mata buat kali
terakhir. Aku jadi sayu apabila memandang wajahnya.
Takdir kami akan berubah esok. Mungkinkah ianya
terjadi....
Malam itu aku tidur di dalam seribu ketakutan. Esok
pasti akan terjadi, begitu juga dengan lafaz kontrak
akan termaktub. Ahhh..undang-undang yang dibuat
manusia. Sentiasa menyusahkan. Takdir hidup aku esok
akan ditentukan. Aku tahu bukan sahaja aku, malah
Harriz lebih merasai ketakutannya. Dia terlalu
mencintai aku. Malah kerana cintanya itu akhirnya
memakan dirinya sendiri. Dia menghormati segala
keputusan aku kerana ikhlasnya cinta Harriz pada diri
ini. Keesokan harinya aku terlewat bangun. Tergopoh
gapah aku keluar dari bilik. Aku dapat rasakan
sesuatu...Harriz tiada di dalam biliknya. Begitu juga
dengan kereta Harriz, tiada di luar. Aku terduduk di
ruang tamu. Terlalu cepat Harriz meninggalkan
cintanya. Tidak sempat untuk dia berkata sesuatu pada
aku buat kali yang terakhir. Mungkin Harriz tidak
mampu untuk berhadapan dengan aku. Kontrak perkahwinan
terletak kemas di atas meja. Aku dapat lihat sepucuk
sampul surat berwarna biru di atas kontrak tersebut.
Hati aku berdebar-debar. Semakin lama getaran di
dadaku semakin terasa. Tanganku menjadi sejuk.
Menggigil-gigil jari jemari ini untuk menyentuh surat
tersebut. Lama aku perhatikan surat Harriz. Aku tak
sanggup nak buka kerana aku tahu segala keputusan
semuanya berada di dalam baris-baris ayat surat
tersebut. Aku takut, namun, aku pasrah. Ia kehendak
Tuhan dan hati aku sendiri. Aku harus menerima segala
keputusan dengan tenang.
Lagipun selama ini itulah yang aku minta pada Harriz
biarpun Harriz berat untuk melakukannya. Dengan lafaz
Bismillah aku membuka lembaran surat tersebut dan
akhirnya....
"Bahawasanya saya HARRIZ BIN HASHIM dengan ini
menceraikan NURUL AIN BT HAMDI dengan talak satu.
Segalanya adalah mengikut kontrak perkahwinan yang
telah kami tandatangani iaitu bertarikh 30 DISEMBER
2002"
-HARRIZ BIN HASHIM-
Dia benar-benar melakukannya...Pertama kali air mataku
mengalir. Aku kini bukan milik Harriz lagi. Tahniah
untuk diriku sendiri kerana permainkan undang-undang
Tuhan dan natijahnya aku yang terima sekarang.
Ooohh..Harriz. Kenapa kau berlalu pergi begitu saja.
Tiada langsung
ucapan selamat tinggal yang keluar dari mulutmu.
Kenapa hatimu terlalu lembut? Kenapa kau tidak memujuk
aku supaya jangan berpisah ? Andai ianya berlaku sudah
pasti aku tak m ahu engkau meninggalkan aku. Aku mula
menyayangi
dirimu Harriz.. Benih-benih cinta dan kasih dalam diri
ini pada Harriz sudah bercambah tapi aku tak mampu
untuk tunaskannya...


**********************************************************

Hampir 2 bulan selepas perceraian kami aku tidak
pernah bertemu dengan Harriz. Dia menghilangkan diri
begitu sahaja. Aku tidak tahu ke mana Harriz membawa
diri. Sudah puas aku mencari tapi Harriz tidak juga
aku temui. Aku sudah bernekad bahawa aku mesti mencari
Harriz. Aku ingin mengikat semula tali perhubungan
kami yang terputus. Aku telah bersumpah bahawa tiada
lelaki lain selain Harriz yang boleh menjadi suamiku.
Aku ingin bina semula istana cinta kami yang telah aku
runtuhkan dahulu disebabkan kebodohan aku. Tapi, di
mana aku nak mencari Harriz? Sudah merata tempat aku
pergi. Telah pelbagai cara aku lakukan namun gagal.
Adakah sengaja Harriz tidak mahu berjumpa dengan aku?
Terlalu besarkah dosa aku padanya?
Ibu dan ayah sudah tahu mengenai perceraian aku dan
Hariz. Mereka benar-benar terkejut dengan tindakan
kami pada mulanya. Ayah marahkan aku, begitu juga ibu.
Aku tahu aku yang bersalah. Namun marah mereka tidak
lama kerana mereka tahu takdir sudah tertulis bahawa
aku dan Harriz tidak boleh kekal bersama cuma mereka
kesal dengan sikap dan perangai aku yang tidak pernah
berubah. Aku terlalu degil dan sukar untuk dibentuk.
Tapi itu dulu, sebelum kehadiran Harriz. Sekarang, aku
bukan seperti aku yang dulu. Harriz telah mengubah
pendirian aku. Dialah punca segala-galanya. Dia
jugalah yang telah membuka pintu hati ini untuk
mengenal apa itu erti cinta, kasih, sayang dan rindu.
Aku terlalu rindukan kehadiran Harriz di sisi. Cinta,
kasih dan sayang pada Harriz semakin hari semakin
bertambah. Nama Izham terus hilang dari ingatan aku.
Dia bukanlah lelaki yang boleh dipercayai. Segala
kegiatan jahatnya terbongkar apabila satu hari aku
terbaca diari Harriz yang tertinggal di rumahku
selepas Harriz menghilangkan diri pada pagi yang
keramat itu. Setiap detik dan hari sudah pasti ada
kisah aku dan Izham di London tertulis di dalam
diarinya. Dari situlah aku tahu, Izham bukanlah
seorang lelaki yang jujur. Dia banyak memainkan
perasaan wanita seperti aku. Sampai sekarang Harriz
tidak tahu bahawa aku telah membaca diarinya. Segala
isi hatinya dan perasaannya pada aku ditulis dalam
diari itu. Barulah aku tahu memang Harriz lebih
mengenali aku daripada aku mengenali diriku sendiri.
Dia begitu hebat di hati aku kini. Harriz.....Di mana
kau sekarang...
Suatu hari, aku dapat berita yang rasanya boleh
meluruhkan jantung aku di saat itu jua. Berita tentang
orang yang sangat-sangat aku ingin jumpa. Akhirnya
dapat juga aku mendengar berita tentang Harriz tetapi
malang kerana ketika itu aku berada di luar negara
menguruskan perniagaan ayah yang ada masalah. Aku
menggantikan kerja-kerja Harriz kerana Harriz bukan
sahaja berpisah dengan aku malah jawatannya sebagai
CEO di syarikat ayah juga turut dilepaskan. Ibu yang
menelefon aku ketika itu mengkhabarkan berita tidak
baik tentang Harriz. Harriz kini berada di wad jagaan
rapi (ICU). Harriz sakit kuat sekarang. Begitulah
kata-kata terakhir yang sempat aku dengar dari ibu
kerana perbualan kami terputus disebabkan cuaca buruk
di New Zealand yang ketika itu mengalami musim sejuk.
Aku tidak dapat menghubungi ibu untuk mengetahui
berita selanjutnya tentang Harriz. Aku menangis
semahu-mahunya. Aku ingin pulang segera tapi
semua penerbangan dibatalkan untuk beberapa hari
kerana cuaca buruk. Aku takut andai aku akan
kehilangan Harriz dan aku tak sanggup untuk mendengar
berita kehilangan Harriz sekali lagi. Harriz...Ya
Tuhan, selamatkan Harriz.
Andai ada jodohku bersama Harriz, pertemukanlah kami
di bawah limpahan rahmat kurniamu... Aku tidak dapat
tidur lena selepas mendengar berita Harriz. Setiap
waktu yang berlalu aku terkenangkan Harriz. Bagaimana
keadaan Harriz sekarang? Jariku tidak putus asa ligat
mendail nombor telefon ibu, namun tidak berjaya.
Setiap saat degup jantung ini dapat aku rasakan
semakin laju. Semuanya kerana mengenangkan keadaan
Harriz. Mungkin sekarang Harriz amat memerlukan aku
berada di sisinya tapi aku tak boleh Harriz. Kita
terpisah dengan benua dan lautan. Aku jauh darimu tapi
hati ini terlalu dekat padamu. Andai kau dapat
mendengar suara hati ini, ingin aku katakan bahawa
di saat ini aku sentiasa mendoakan agar dirimu selamat
dan dijauhkan dari segala kesulitan hidup.
Akhirnya malam keramat itu telah merubah takdir
hidupku sekali lagi. Tidak dapat aku lupakan,
bagaimana sayunya suara ibu menyampaikan berita yang
paling takut untuk aku dengar. Mungkin ini adalah
balasan Tuhan di atas keangkuhan aku memainkan
undang-undang ciptaan Tuhan selama ini. Harriz...Nama
itu kini hanya tinggal bayangan masa silam. Dia
benar-benar telah meninggalkan aku bersama
kenangannya. Harriz tidak lagi akan aku temui sampai
bila-bila...
"Maafkan ibu, Ain. Ibu tak dapat hubungi Ain dua hari
yang lalu. Harriz sudah tiada lagi di dunia ini. Dia
dah tinggalkan kita semua buat selama-lamanya. Maafkan
ibu, ibu lambat beritahu Ain. Kanser hatinya dah
semakin merebak dalam tubuh Harriz. Dia terlalu
rindukan Ain tapi dia tak mampu untuk bertahan lama.
Ibu benar-benar minta maaf Ain....."
Kata-kata ibu tidak berupaya lagi untuk aku dengar.
Aku terasa berada di awangan. Semuanya bagaikan
halilintar yang membelah bumi. Aku terduduk. Air mata
mengalir tanpa henti. Aku menangis dan terus menangis
tanpa henti. Tidak sempat untuk aku sujud di kakinya,
memohon ampun dan maaf. Dosa aku terlalu banyak pada
Harriz.
"Maafkan Ain, Harriz. Ain bersalah pada Harriz dan Ain
tidak sempat untuk sujud di kaki Harriz. Maafkan Ain,
maafkan Ain..." Aku menjerit sekuat hati tapi siapalah
yang mampu untuk menenangkan aku di saat itu. Aku
keseorangan. Ibu dan ayah tiada di sisi. Hanya
semangat Harriz yang wujud dalam diri ini tapi kini
Harriz meninggalkan aku secara tiba-tiba. Aku hilang
arah tuju. Dunia dapat aku rasakan gelap. Harriz tidak
pernah menceritakan pada aku tentang penyakitnya.
Patutlah kata-kata Harriz malam itu aku rasakan lain.
Dia benar-benar maksudkannya. Kalaulah aku tahu begini
jadinya tidak akan aku bertindak bodoh untuk berpisah
dengan orang yang ikhlas mencintai aku. Akan aku jaga
Hariz sehingga dia mengucapkan lafaz kematian di
hadapan mata aku sendiri. Tapi, itu semua telah
terlambat untuk dijadikan realiti dalam hidup aku.
Hariz meninggalkan aku di saat-saat cinta ini telah
berputik.
Kepulangan aku ke bumi Malaysia tidak membawa apa-apa
makna pada aku kerana orang yang ingin sangat aku
jumpa selama ini sudah pergi. Hanya pusara yang
tinggal untuk aku lawati. Setitis demi setitis air
mata ini jatuh mengalir tatkala aku sampai di pusara
Harriz. Aku dapat merasakan Harriz seakan berada di
sebelah aku melihat aku mengalirkan air mata kerana
meratapi kematiannya. Harriz, jika dapat kau dengar
luahan hati ini, ingin sekali aku bermohon ampun dan
maaf padamu yang tidak pernah sempat terucap di bibir
ini biarpun ketika kita bersama. Baru kini aku dapat
menilai erti cintamu yang mendalam terhadap diri ini.
Aku terlalu angkuh dan keegoan ini telah memakan diri
aku sendiri. Sepucuk surat yang terakhir kau tujukan
untukku baru kini dapatku baca.
Meruntun hati ini tatkala aku membaca bait-bait puisi
yang engkau karangi hanya semata-mata untukku. Aku
tahu aku benar-benar bersalah !!!.. Ikhlasnya cintamu
itu tidak setanding dengan apa yang ada di dalam hati
ini untuk aku beri. Rendahnya martabat diri ini jika
kita dapat bersama.
Selafaz doa aku bacakan untukmu, begitu jua jutaan
kemaafan aku pohon padamu Harriz... Sajak yang
ditujukan khas buat diri ini tidak puas aku
membacanya. Sekali lagi aku menatap agar ia dapat
menenangkan aku kerana tidak dapat melihat di
saat-saat pemergianmu yang tidak dirancang tapi telah
ditentukan Tuhan. Sesungguhnya...syurga seorang suami
adalah ketika bersama isterinya dalam susah dan
senang... Permata hati buat isteri yang disayangi
Nurul Ain Bt Hamdi...
Dunia saya sewaktu bersama awak dirasakan amat
luas.... Awak adalah anugerah Tuhan yang tak ternilai
buat saya... Biarpun cinta ini tidak pernah wujud
dalam diri awak... Namun, harapan itu tetap ada dalam
impian saya Saya sayang awak lebih dari segalanya Saya
mencintai awak dengan setulus hati Tatkala lafaz nikah
terucap di bibir ini Memiliki awak adalah amanat yang
harus saya jaga sebagaimana Tuhan menciptakan Adam
untuk Hawa... Namun, pemergian saya tak dirancang...
Bila-bila masa sahaja
nyawa ini akan menghentikan nafasnya. Biarpun saya
tiada di sisi awak lagi Saya harap awak tidak pernah
lupa akan diri ini yang sentiasa mencintai awak...
-HARRIZ BIN HASHIM-
01 JANUARI 2003


sekian... itu sahaja
jgn sedih2 ooorrrr ...



No comments:

Post a Comment